Soalan Lazim
Tatatertib |
SOALAN-SOALAN LAZIM URUSAN TATATERTIB TINDAKAN TATATERTIB 1. Adakah tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja boleh diambil ke atas pegawai yang telah bersara wajib, atas kesalahan yang dilakukan semasa dalam perkhidmatan? Tindakan tatatertib tidak boleh lagi diambil ke atas seseorang pegawai yang telah bersara kecuali jika tindakan tatatertib telah pun dimulakan (pertuduhan telah dihadapkan kepada pegawai) sebelum tarikh persaraan itu, maka tempoh perkhidmatan pegawai itu disifatkan sebagai telah dilanjutkan sehingga tindakan tatatertib itu berkeputusan sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 10 Akta Pencen. 2. Adakah tindakan tatatertib boleh diambil ke atas pegawai yang telah meletak jawatan dari perkhidmatan awam? Tindakan tatatertib tidak boleh lagi diambil ke atas seseorang pegawai yang telah meletak jawatan. Tindakan tatatertib yang sedang diambil juga tidak boleh diteruskan lagi selepas perletakan jawatan tersebut. 3. Apakah tindakan yang sesuai diambil terhadap pegawai dalam percubaan yang melakukan kesalahan tatatertib kerana tindakan melalui proses tatatertib akan mengambil masa yang lama? (i) Dari segi peraturan, tindakan tatatertib hingga ke peringkat buang kerja boleh diambil terhadap pegawai dalam percubaan, terutama jika mereka telah melakukan kesalahan yang serius. 4. Apakah tindakan yang boleh diambil oleh KJ jika pegawai memperolehi sijil sakit palsu dan adakah wajar seorang Ketua Jabatan meluluskan cuti sakit bagi kakitangan yang mengemukakan sijil sakit dari klinik swasta? Perlu diingat bahawa sijil sakit yang dikeluarkan oleh seseorang pengamal perubatan berdaftar (doktor) itu adalah sebagai satu perakuan/pengesahan bahawa pegawai kurang sihat dan disyorkan berehat pada tarikh yang dinyatakan. Jika KJ bersetuju dengan pendapat doktor itu maka pegawai bolehlah diluluskan cuti sakit. Pada tarikh pegawai disahkan tidak sihat itu mereka sepatutnya berehat di rumah atau di hospital. 5. Jika Urus Setia Jabatan mendapati terdapat kesilapan dalam prosedur tindakan tatatertib terhadap seseorang pegawai, bilakah sepatutnya Urus Setia boleh membuat proses semula berhubung dengan tindakan tatatertib berkenaan? Jika surat pertuduhan belum dikeluarkan kepada tertuduh, kesalahan/pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh boleh dibuat semula. Sebaliknya jika surat pertuduhan telah dikeluarkan kepada tertuduh, maka Urus Setia perlu membatalkan prosiding tindakan tatatertib dan bukannya membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh. 6. Pertuduhan yang dikenakan terhadap pegawai kabur sehingga menyulitkan mereka untuk mempertahankan diri dan melemahkan peluang Kerajaan untuk menang jika kes tersebut dicabar di mahkamah. Untuk itu, bagaimanakah mengatasi masalah ini? Setiap pertuduhan perlu jelas, terperinci dan spesifik. Tuduhan perlu menyatakan sekurang-kurangnya jenis kesalahan, tarikh, masa dan tempat kesalahan tersebut berlaku. Misalnya, jika pegawai dituduh memberi isyarat lucah, perlu dijelaskan bagaimanakah isyarat itu telah ditunjukkan; bila ianya dilakukan; dan di mana. Lebih baik lagi jika dinyatakan sekali saksi yang boleh mengesahkan dakwaan itu. Jika berlaku pertuduhan sebegini, pembatalan prosiding perlu dilakukan dan bukannya pembatalan pertuduhan. 7. Adakah oral hearing dibenarkan dalam perbicaraan kes tatatertib? Dasar yang berkuat kuasa sekarang tidak membenarkan perbicaraan kes tatatertib dibuat melalui oral hearing. Perbicaraan berdasarkan kepada representasi bertulis sudah memadai dan berpadanan dengan kemampuan pengurus personel sektor awam yang tidak dilatih dalam bidang oral hearing. Dasar ini juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempastikan kes tatatertib dapat diselesaikan dengan segera. 8. Bolehkah LTJ bersidang untuk menjatuhkan hukuman ke atas pegawai sekiranya tempoh representasi pembelaan diri pegawai belum tamat 21 hari? Walaupun seseorang pegawai telah mengemukakan representasi pembelaan dirinya dalam masa 1 hari, namun LTJ mestilah menunggu sehingga 21 hari untuk bersidang. Ini kerana LTJ hendaklah mematuhi prinsip keadilan iaitu right to be heard (hak untuk didengar). Kegagalan mematuhi prosedur/tatacara serta prinsip-prinsip perundangan tersebut akan menyebabkan kecacatan terhadap sesuatu tindakan tatatertib dan boleh menyebabkan keputusan yang telah dibuat itu menjadi tidak sah. 9. Sekiranya Pengerusi sering bertukar siapakah yang sepatutnya boleh menjadi Pengerusi LTJ dan siapakah yang menjadi Ahli Lembaga Tatatertib Jabatan? Mengikut Peraturan 2, keanggotaan Lembaga Tatatertib terdiri dari anggota yang dinyatakan dalam ruang 4 jadual.
Bagi pegawai yang sering bertukar-tukar/menanggung jawatan sebagai Ketua Jabatan, jawatan Pengerusi LTJ tidak boleh dilantik secara automatik. Pelantikan jawatan tersebut perlu dibuat oleh KSN seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3. TIDAK HADIR BERTUGAS 1. Apakah tindakan tatatertib kerana tidak hadir bertugas boleh diambil ke atas seseorang pegawai yang telah ditangkap/ditahan oleh pihak polis atau BPR kerana disyaki melakukan jenayah.? Tangkapan seumpama ini dianggap sebagai tangkapan kerana membantu siasatan. Ketidak hadiran bertugas bagi tempoh pegawai ditahan itu adalah disifatkan sebagai dengan sebab yang munasabah. Walau bagaimana pun sekiranya pegawai masih tidak hadir selepas dibebaskan sama ada dengan ikat jamin dan sebagainya, maka tindakan tatatertib boleh dikenakan bagi ketidak hadiran selepas dia dibebaskan itu. 2. Bagaimana menguruskan masalah pegawai yang melakukan kesalahan tidak hadir bertugas secara tenggelam timbul: kadang-kadang hadir, kadang-kadang tidak? Jika ketidakhadiran itu merupakan kesalahan tatatertib, tindakan hendaklah dimulakan sebaik-baik sahaja pegawai melakukan kesalahan tersebut tanpa menunggu sehingga jumlah hari yang mereka tidak hadir itu mencapai jumlah tertentu. Di peringkat awal kesalahan itu dilakukan dan jumlahnya masih sedikit, pegawai sebaik-baiknya diberi nasihat dan bimbingan. Tindakan tatatertib adalah langkah terakhir, iaitu jika tindakan awal tidak berkesan. 3. Berapakah tempoh yang boleh dianggap THB? Tiada disebut tempoh di dalam peraturan. Mengikut Peraturan 23, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, menjelaskan tidak hadir termasuklah tidak hadir bagi apa-apa jua tempoh masa dan tempat pegawai itu dikehendaki hadir bagi pelaksanaan tugas-tugasnya. 4. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya pegawai kembali bertugas dalam tempoh penyiaran notis? Peraturan 26(5) menjelaskan jika pegawai melaporkan diri untuk bertugas dalam masa 7 hari darii tarikh penyiaran notis, Ketua Jabatan hendaklah melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan supaya prosiding tindakan tatatertib biasa dikenakan terhadap pegawai. 5. Apakah kesan kepada kakitangan yang tidak hadir bertugas dipanggil semula untuk bertugas dan kemudian dikenakan tindakan tatatertib? Jika ini berlaku seolah-olah pemaafan (condonation) telah diberikan kepada kakitangan terbabit kerana tindakan tatatertib hanya diambil setelah suatu tempoh masa yang panjang. 6. Apakah yang dimaksudkan dengan istilah ‘Tidak hadir bertugas secara berterusan’? Ia bermaksud apabila seseorang pegawai tidak hadir bagi apa-apa jua tempoh masa pada masa dan tempat pegawai itu dikehendaki hadir bagi pelaksanaan tugas-tugasnya. Jika seseorang pegawai tidak hadir bertugas mulai 1.1.2000 hingga 31.12.2000, maka tarikh-tarikh beliau tidak hadir tidak perlu dinyatakan secara spesifik. 7. Pegawai hanya datang pagi dan petang untuk mengetip kad perakam waktunya. Beliau sebenarnya tidak bertugas. Bolehkah pegawai dikenakan tuduhan ‘tidak hadir bertugas’? Tuduhan yang sesuai dikenakan kepada pegawai ialah TIDAK HADIR BERTUGAS. Jika tuduhan ini boleh dibuktikan melalui saksi dan bukti berdokumen yang lain (jika ada) yang dapat memperlihatkan tempoh masa beliau tidak bertugas, kesalahan ini sama seriusnya dengan kesalahan tidak hadir bertugas. PENYALAHGUNAAN DADAH 1. Bolehkah tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai yang diketahui menagih dadah? (i) Jika pegawai telah menagih dadah sebelum dilantik tetapi tidak diisytiharkan dalam sumpah berkanunnya, pegawai boleh dituduh membuat sumpah palsu. Jika pelantikan mereka belum disahkan, pelantikan itu boleh dibatalkan. 2. Bagaimanakah yang dikatakan seseorang pegawai dikategorikan sebagai mengambil/menyalahgunakan dadah sehingga dikenakan tindakan tatatertib buang kerja? Peraturan 7 menjelaskan apabila seseorang pegawai yang disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan menyalahgunakan atau menagih dadah, pegawai boleh dikenakan tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja. Walau bagaimanapun ia terpulang kepada budi bicara LTJ berkenaan sama ada tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap pegawai bagi tujuan buang kerja atau bukan tujuan buang kerja ianya berdasarkan kepada merit kes atau mitigating factors. KETERHUTANGAN KEWANGAN YANG SERIUS 1. Bagaimanakah yang dikatakan seseorang pegawai awam berada dalam keterhutangan kewangan yang serius? Jumlah hutang yang tidak bercagar dan melebihi 10 kali emolumen bulanannya. Ini bermaksud bakii gaji akhir adalah kurang daripada 40%. Oleh yang demikian pegawai awam hanya dibenarkan berhutang 60% daripada emolumen dan mempunyai baki gaji sekurang-kurangnya 40%. 2. Apakah peranan KJ jika didapati kakitangan bawahannya mengalami keterhutangan kewangan yang serius? Ketua Jabatan perlu memantau dan memperingatkan kakitangan di bawah jagaannya supaya mematuhi surat-surat pekeliling dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa. Sekiranya kakitangan bawahannya masih tidak mematuhi surat-surat pekeliling dan berada dalam keterhutangan kewangan serius, Ketua Jabatan perlulah bertanya kepada pegawai bagaimanakah ia menyelenggara kehidupannya. Walaupun mempunyai keterhutangan kewangan yang serius, tetapi pegawai telah menunjukkan prestasi kerja yang baik serta tidak melanggar tatakelakuan perkhidmatan awam dii bawah Peraturan 4, maka tindakan tatatertib tidak perlu diambil. Ketua Jabatan perlulah memantau secara berterusan supaya tidak menjejaskan prestasi kerja dan tidak berlaku penyalahgunaan kuasa. |
| Next > |
|---|